Selasa, 04 Maret 2014

Laporan Audit Negara – Kementerian Bermasalah Akan Dipanggil PAC


KUALA LUMPUR : Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) perlu bertindak adil kepada semua pihak terutama sekali kakitangan kerajaan dalam meneliti segala unsur penyelewengan yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (KAN) 2012.

Pengerusinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, laporan itu baru dibentangkan di Dewan Rakyat semalam dan pihaknya memerlukan masa untuk meneliti segala maklumat sebelum memulakan sebarang inkuiri.

“Bagi kita masa, PAC juga baru bermesyuarat semalam dan sudah pasti kita akan memanggil kakitangan kerajaan yang terbabit bagi memberikan keterangan,” katanya melalui satu kenyataan di sini hari ini.  

Beliau berkata, PAC sekali lagi bermesyuarat pada 21 Oktober ini bagi menentukan projek atau kementerian mana yang akan dipanggil bagi memberikan keterangan terhadap projek yang dikenalpasti berlaku penyelewengan dan salah guna kuasa.  

Nur Jazlan berkata, cadangan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng supaya satu jawatankuasa dibentuk kerana merasakan PAC tidak efisien adalah satu pandangan yang menghina institusi Parlimen.

Katanya, PAC dibentuk di kalangan Ahli Parlimen yang mewakili Barisan Nasional (BN) serta pembangkang dan ia adalah sebuah jawatankuasa bebas yang mempunyai kuasa untuk meneliti serta menyiasat segala perbelanjaan kerajaan.

“Mengikut cadangannya, jawatankuasa berkenaan dianggotai Perdana Menteri, Ketua Pembangkang serta Ketua Audit Negara dan bagaimana status jawatankuasa ini, kerana PAC boleh menyiasat badan eksekutif dan jika Perdana Menteri menganggotainya, bagaimana jawatankuasa berkenaan mahu menjadi sebuah badan bebas.

“PAC badan yang dibentuk Parlimen dan ia membuktikan berlaku pengasingan kuasa antara Parlimen, Eksekutif serta Kehakiman,” katanya.

Nur Jazlan berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berusaha keras dalam memastikan isu penyelewengan dan salah guna kuasa dalam kerajaan dibanteras tetapi ia tidak boleh dilaksanakan dalam sekelip mata.

Katanya, Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) 2.0 adalah bukti kesungguhan beliau dan atas sebab itu, Laporan KAN akan dibentangkan tiga kali setahun iaitu setiap kali sesi sidang Dewan Rakyat berbanding sekali sebelum ini.

“Mengapa pembangkang tidak memberikan pujian atas inisiatif ini, selain pemantauan terus Jabatan Audit Negara untuk semua projek kerajaan bernilai RM500 juta dan ke atas.  Ia menunjukkan bahawa pembangkang hanya mahu mempolitikkan segala isu dan menuding kelemahan kerajaan.

“Kita akui kelemahan ini dan usaha akan dan sedang diambil bagi mengatasi masalah yang dibangkitkan dalam Laporan KAN, jadi jangan terlalu cepat menyalahkan kerajaan,” katanya.

0 komentar:

Posting Komentar