Minggu, 09 Maret 2014

Kenaikan Kadar Cukai Pintu Masih Belum Diputuskan


KUALA LUMPUR: Kenaikan kadar cukai pintu yang dijadualkan akan dilakukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) masih belum ditetapkan secara muktamad dan buat masa ini kadar cukai adalah sama seperti tahun-tahun sebelumnya.

Namun, menurut Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, kenaikan akan tetap dilakukan kerana ia bertujuan untuk menyumbang dana kewangan kepada kelestarian bandaraya Kuala Lumpur.

“Kita tak mahu membebankan rakyat, DBKL pun tak mahu bebankan rakyat tapi kita juga ingin memaklumkan kepada rakyat bahawa selama 21 tahun kadar nilai hartanah mereka tak pernah dinaikkan,” katanya ketika ditemui pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kali kedua bersama Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan, di sini, hari ini.

Kadar cukai pintu adalah masih sama enam peratus bagi kediaman manakala 12 peratus untuk premis perdagangan.

Melalui perbincangan mesyuarat  hari ini, pihaknya akan bertemu dengan pengurusan datuk bandar untuk menetapkan kadar peningkatan yang dirasakan bersesuaian.

Namun begitu, penduduk yang tidak bersetuju mengenai kenaikan kadar nilai cukai boleh membuat bantahan sehingga 17 Disember sebelum kementerian membuat sebarang keputusan muktamad berhubung perkara tersebut.

Selain itu, beliau juga menerangkan bahawa kesemua Ahli Parlimen akan berbincang mengenai kadar kenaikan dan telah mengarahkan semua wakil rakyat yang terlibat untuk menerangkan perkara tersebut kepada penduduk di kawasan mereka.


Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal Talib berkata pihak DBKL tidak boleh bergantung 100 peratus kepada bajet tahunan yang telah diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan untuk menambah baik serta mewujudkan pembangunan infrastruktur dan fasiliti untuk kemudahan warga kota.

“Kita tak boleh bergantung sepenuhnya kepada kerajaan persekutuan kerana mereka pun ada keutamaan mereka yang lain,” katanya.

Sebagai contoh, Ahmad Phesal telah mendedahkan DBKL terpaksa membelanjakan sebanyak RM47 juta hanya untuk penambahbaikan di kawasan-kawasan yang perlu dinaik taraf seperti di Segambut dan Jalan Dang Wangi.

Untuk makluman, DBKL telah menerima peruntukkan sebanyak RM 1. 49 billion daripada kerajaan persekutuan pada tahun ini.

Oleh: JULIANA JOHAR

Foto dan Video: RIZA RAZAK

0 komentar:

Posting Komentar