Minggu, 22 Desember 2013

Wanita tagih cinta toreh pipi isteri orang

myMetro 26 Okt 2012

GEORGETOWN: Akibat cemburu dan cinta tidak berbalas, seorang wanita cedera ditoreh di pipi kiri apabila diserang seorang wanita lain dalam kejadian di Lebuh Nipah, Sungai Nibong, di sini, Selasa lalu.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 5 pagi ketika mangsa berusia 56 tahun bersama suaminya pergi ke sebuah gerai dan ketika sedang makan, mereka didatangi seorang wanita berusia 53 tahun yang tiba-tiba terus memarahi dan memaki-hamun mangsa selain menghambur kata-kata kesat kepada pasangan berkenaan.

Jurucakap polis berkata, berdasarkan siasatan awal, wanita berkenaan bertindak demikian selepas perasaan cintanya terhadap suami mangsa berusia lingkungan 50-an tidak dilayan, malah enggan membawanya keluar bersiar-siar menyebabkan suspek berang terhadapnya.

“Suspek kemudian dipercayai mengeluarkan sebilah pisau pemotong kertas dari dalam saku seluarnya dan cuba menikam mangsa, namun sempat dielak sebelum terkena pipi kiri,” katanya.

Katanya, akibat torehan itu menyebabkan mangsa cedera dan terpaksa dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut.

“Mangsa dilaporkan terpaksa menerima 10 jahitan pada pipinya sebelum membuat laporan di Balai Polis Sungai Nibong.

“Susulan laporan berkenaan, wanita yang didakwa menyerang mangsa berjaya ditahan tidak lama kemudian,” katanya.

Menurutnya, suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut untuk siasatan lanjut dan hasil semakan mendapati dia tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau.
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tiga tahun atau denda atau kedua-dua sekali,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Menurutnya, pihak akan menyiasat mengikut pelbagai aspek terhadap kejadian yang menyebabkan suspek bertindak nekad dan agresif sedemikian.

0 komentar:

Posting Komentar