Sabtu, 08 Februari 2014

SPRM perlu diaudit dengan lebih tegas terperinci Datuk Mahfuz

Harakahdaily 

Abdul Aziz Mustafa, 07 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Jabatan Audit Negara hendaklah mengaudit Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan lebih tegas, mendalam, meluas dan terperinci berbanding pihak-pihak lain, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Ada yang menyatakan bahawa semakan secara kasar mendapati jumlah kerugian yang ditanggung oleh rakyat adalah sekitar RM42.138 bilion berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2011.

"Begitu besar kerugian yang ditanggung oleh rakyat, SPRM kata pihaknya mengemukakan dua kes sahaja ke mahkamah ekoran kes yang dibangkitkan dalam laporan tersebut selain lima orang pegawai kerajaan dikenakan tindakan tatatertib ekoran kes yang sama.

"Hanya tujuh orang sahajakah yang bertanggungjawab atas kerugian begitu besar?" katanya.

Sebab itulah, kata beliau lagi, SPRM perlu diaudit dengan lebih tegas lagi berbanding pihak lain oleh Jabatan Audit Negara.

"Dengan peruntukan yang begitu banyak yang diterima oleh SPRM, Ketua Audit Negara perlu menyiasat apa yang dibuat oleh agensi tersebut sehingga begitu memalukan tinjauan siasatannya terhadap kes yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2011," katanya.

Mahfuz menyifatkan kelemahan tinjauan siasatan SPRM itu memberi dorongan kepada lebih banyak penyelewengan selepas ini.

"Kalau itu sahaja tinjauan siasatan SPRM, mereka yang terlibat tidak takut sedikit pun malah akan mengejek-ejek siasatan yang dibuat oleh SPRM.

"SPRM hendak siasat, siasatlah. Mereka tidak bimbang sedikitpun. Mereka tidak takut," katanya.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu yakin, lebih banyak peneyelewengan akan didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara yang akan datang.

"Laporan 2011 memperlihatkan penyelewengan besar-besaran, laporan 2012 pun sama. Sukar hendak ditolak laporan akan datang memperlihatkan penyelewengan lebih besar lagi.

"Semua akan berulang kerana mereka yang terlibat tidak takut sedikitpun," katanya.

Mahfuz berkata, sudah sampai masanya rakyat mengadakan gerakan besar-besaran mempersoalkan kesungguhan, kecekapan dan tatacara siasatan SPRM yang amat mencurigakan itu.

"Kalau menyiasat pihak-pihak yang terlibat dengan Pakatan Rakyat, sampai ada yang terbunuh di premis SPRM.

"Tetapi kalau berkaitan dengan kerajaan Barisan Nasional, berpuluh bilion ringit kerugian, hanya dua orang dihadapkan ke mahkamah dan lima orang diambil tindakan disiplin. Sangat mencurigakan," katanya.

0 komentar:

Posting Komentar