Rabu, 29 Januari 2014

FAM gagal tepati janji


SEBELUM berlangsungnya perlawanan akhir Piala Malaysia di antara Kelantan dan Pahang kelmarin, pelbagai perancangan dan jaminan telah dijanjikan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam memastikan kerancakan perlawanan akhir itu berjalan tanpa sebarang masalah.

Bermula dengan isu tiket palsu, larangan  membakar api suar, bom asap serta ulat tiket telah dipandang serius oleh badan induk itu dengan memperkenalkan sistem tiga pemeriksaan ke atas penonton bagi mengelak mereka membawa bahan berkenaan.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, berkali-kali menyatakan pihaknya akan memastikan tahap keselamatan pada perlawanan akhir menjadi inti pati utama bagi mengelak kejadian tidak diingini daripada berlaku.

“Kita akan pastikan soal keselamatan penyokong dititik beratkan. Tidak akan ada tiket palsu dan kawalan keselamatan di setiap pintu masuk akan ditapis dengan menggunakan sistem tiga tapisan pemeriksaan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pengurus pasukan final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, 1 November  lalu.

Pertama, para penyokong perlu menjalani pemeriksaan badan. Kedua tiket masuk akan diperiksa menggunakan mesin pengimbas serta yang ketiga, pemeriksaan menyeluruh untuk memastikan tidak ada barangan atau objek yang dilarang di bawa masuk ke stadium.

Namun semuanya hanyalah bayangan indah yang ditaburkan oleh FAM dengan nada tegas untuk mengambil tindakan keras terhadap penyokong-penyokong yang didapati melanggar peraturan, insiden membakar api suar dan balingan bom asap tetap ‘mewarnai’ aksi final tersebut.

Ironinya, cubaan FAM memperkenalkan sistem tiga pemeriksaan ke atas penonton bagi mengelak mereka membawa bahan larangan bersama pihak berkuasa dilihat seperti ‘melepaskan batuk di tepi tangga’, yang jelas gagal mengawal gejala kurang sihat itu daripada berlaku.

Lebih memburukkan lagi imej edisi ke-87 Final Piala Malaysia kali ini ialah, apabila polis menemui sepucuk pistol jenis Browning dan tujuh butir peluru di dalam tandas di Stadium Shah Alam, malam kelmarin.

Tidak terhenti di situ, kira-kira 100 penyokong yang tidak mempunyai tiket dilaporkan bertindak merempuh pagar Stadium Shah Alam.

Satu sumber dari pihak keselamatan stadium berkata, terdapat gerigi besi yang dikopak menggunakan pengumpil oleh segelintir penyokong bagi meloloskan diri.

Kesudahannya, berlaku sedikit kekecohan namun dengan tindakan pantas pasukan polis keadaan kembali terkawal.

Selepas berakhirnya perlawanan akhir, media cuba untuk mendapatkan komen balas daripada Hamidin, namun beliau enggan mengulas lanjut, “No comment,” katanya.

Ternyata reaksi Hamidin yang enggan mengulas lanjut, menggambarkan kecelaruan yang harus diambil tindakan segera badan induk bola sepak itu bagi memastikan perkara seumpama ini tidak berulang kembali.

 Pengerusi Jawatankuasa Tiket dan Pintu FAM, Datuk S Sivasundram memberitahu, pihaknya sedang berusaha bagi memastikan kawalan keselamatan berada di tahap terbaik bagi menjaga keharmonian sesuatu perlawanan.

“Kami sangat serius berhubung isu keselamatan penonton. Adalah tidak adil untuk mengatakan sistem itu tidak berjaya kerana sekurang-kurangnya, pihak kami dapat mengurangkan insiden seperti membakar api suar dan bom asap.

“Bukan kami tidak boleh berbuat apa-apa cuma perbuatan ini boleh dicegah jika kami mendapat kerjasama sepenuhnya daripada para penonton,” katanya.

Dalam perkembangan sama, polis berjaya menahan seramai 86 orang atas kesalahan membawa tiket palsu dan mereka semua dibebaskan dengan jaminan polis. Polis juga menahan, lima lelaki atas pelbagai kesalahan antaranya membakar suar, membaling mercun dan botol.

0 komentar:

Posting Komentar